Kehadiran peserta BPKKI melebihi sasaran awal!

Kuala lumpur : 7 April 2012 – Al Naqiy Islamic Solutions Sdn Bhd dengan kerjasama Masjid Wilayah Kuala Lumpur berjaya mengadakan Bengkel Perancangan Kewangan Keluarga Secara Islam ( BPKKI ) yang bertempat di Dewan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Bengkel ini telah disampaikan oleh penceramah terkenal tanah air yang juga merupakan pakar dalam Kewangan dan Perbankan Islam iaitu Ustaz Dr Hj. Zaharuddin bin Abdul Rahman. Secara keseluruhannya program ini telah mendapat sambutan yang begitu hangat daripada para peserta yang terdiri daripada orang awam iaitu seramai 350 orang peserta. Bengkel kewangan ini telah mensasarkan beberapa objektif program yang antaranya adalah untuk mendedahkan disiplin Islam dalam hal ehwal kewangan secara umum dan praktikal serta menjelaskan pengertian riba dan bentuknya dalam konteks semasa di institusi – institusi kewangan. Malahan program ini juga bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai cara pengurusan harta mengikut perspektif islam, kualiti muamalat muslim, ciri – ciri terpenting perbankan & kewangan islam serta cabaran dalam perbankan islam di Malaysia. Program yang telah memberi ruang dan peluang kepada masyarakat umum di luar sana untuk mendalami dan memahami kewangan Islam secara lebih meluas ini telah dianggap mencapai objektif utama pelaksanaannya. Hal ini dapat dibuktikan apabila semasa sesi soal jawab berlangsung, para peserta telah menggunakan peluang yang ada untuk bertanyakan pelbagai soalan berkaitan kewangan Islam. Sehubungan dengan itu, bagi memastikan sama ada bengkel mahupun seminar seumpama ini terus berjaya dan mampu mencapai objektifnya, pihak pengurusan Al Naqiy Islamic Solutions Sdn Bhd bersedia menerima dan mempertimbangkan sebarang teguran dan pandangan daripada mana-mana pihak agar penambahbaikan program dapat dilakukan dari masa kesemasa. Malahan kebanyakan testimoni positif telah diterima sepanjang berlangsungnya program ini. Keadaan ini juga telah memberikan ransangnan positif kepada pihak Al Naqiy Islamic Solutions untuk terus menjadikan program – program seperti ini sebagai salah satu medan dakwah kepada masyarakat umum. Antara komen – komen positif yang dapat dirakam adalah ;

“Alhamdulillah, bengkel ini telah membuka mata terhadap sistem-sistem Islam dan perbandingan dengan konvensional “ -Jurutera-

“ seminar ini sangat baik dan banyak ilmu pengetahuan yang dapat dikongsi oleh ustaz. Semoga banyak lagi seminar seperti ini dapat diadakan “ -Orang awam-

“sangat best! Buat seminar sepanjang hari sebab tak cukup rasanya bagi saya sebagai pelajar IPT “ -Pelajar USIM- “Harap dapat diteruskan lagi program sebegini kerana ia menjadi platform dakwah” -Juruteknik-

“Terima kasih kepada Doktor kerana dapat memberikan penerangan asas tentang kewangan islam di Malaysia. Permulaan yang bagus dan diharap dapat ada siri 2, ke -3 dan seterusnya” -Doktor perubatan-

“ Sangat menyedarkan, sangat berinformasi, perlu diteruskan dan diperbanyakkan” -Pegawai Sains- “Adakan bengkel yang lebih kecil tetapi lebih penjelasan teknikal, saya sangat berminat untuk mengikutinya” -Doktor-

“Sangat baik! Mohon akan datang dibuat satu hari” -Doktor Gigi-

“Alhamdulillah, terima kasih kepada pihak penganjur & ustaz Zaharuddin. Perkongsian hebat, harap kami dapat sampaikan kepada masyarakat umum” -Pelajar USIM-

“Patut diteruskan dan disebarkan supaya lebih ramai Muslim sedar tentang kepentingan ilmu Kewangan Islam” -Software Developer-

Harapan pihak pengajur adalah agar program sebegini akan terus mendapat sambutan hangat dan sokongan daripada orang awam serta dapat mempertingkatkan lagi kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang kepentingan Pengurusan Kewangan

Secara Islam. Sekalung tahniah juga diucapkan kepada team Al naqiy atas kejayaan dalam menjayakan bengkel tersebut.


Comments are closed.