KFSS: Langkah Baru Buat AlNaqiy

Kuala Lumpur: 15 Julai 2012 – AlNaqiy Islamic Solutions Sdn Bhd dengan jayanya telah mengadakan Kursus Formula Solat Sempurna yang pertama bertempat di Dewan Kuliyah Utama, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Bersempena dengan kedatangan pesta ibadah iaitu bulan Ramadhan, Al-Naqiy telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan kursus sampingan ini bagi membantu orang awam memperbaiki solat mereka sebagai persediaan menyambut bulan yang mulia ini. Kursus yang diadakan selama satu hari ini telah disampaikan oleh penceramah yang tidak asing lagi iaitu Dr. Zaharuddin Abd. Rahman yang juga merupakan Penasihat Syariah di AlNaqiy Islamic Solutions Sdn Bhd.

Kursus ini disifatkan sebagai satu kursus ‘advance’ di mana penceramah mendedahkan dalil-dalil dan pandangan Mazhab Syafi’e berkaitan dengan solat selain membuka minda peserta dan mengajar toleransi dalam pandangan. Penceramah juga membentangkan teori-teori berkenaan solat sambil menunjukkannya secara praktikal melalui gambar yang disediakan dalam ‘slide’, nota yang disediakan untuk peserta dan dilakonkan sendiri oleh penceramah di atas pentas. Pihak penganjur telah memadatkan kursus ini dalam sehari agar memudahkan umat Islam segera perbaiki ibadahnya. Oleh itu juga, kursus ini telah dijalankan dalam bentuk dua hala di mana para peserta dibenarkan untuk bertanya soalan secara terus kepada penceramah sewaktu sesi pembentangan diadakan. Para peserta juga dibekalkan dengan kertas khas untuk bertanya soalan secara bertulis sekiranya mereka tidak mendapat peluang untuk bertanya secara terus kepada penceramah.

Kursus ini telah mendapat sambutan yang sangat hangat kerana ramai yang berebut-rebut untuk mendaftarkan diri oleh kerana pendaftaran adalah terhad kepada 400 orang sahaja. Hal ini menunjukkan terdapat ramai orang awam di luar sana yang bersungguh-sungguh ingin menimba ilmu. Walaupun bilangan peserta adalah ramai, dengan izin Allah S.W.T jua kursus ini telah berjaya berjalan dengan lancar.

Hasil kajian daripada soal selidik yang telah diedarkan sewaktu program, ternyata para peserta berpuas hati dengan kursus yang telah diadakan ini. Terdapat banyak juga cadangan-cadangan dan komentar-komentar membina daripada para peserta yang memberi harapan tinggi kepada Al-Naqiy untuk mengadakan lebih banyak kursus-kursus seperti ini dan membuat penambahbaikan dalam kursus-kursus yang akan datang.


Comments are closed.